Laporan Kertas Putih: Peneroka Felda perlu bantuan sara hidup RM1,500

Laporan Kertas Putih: Peneroka Felda perlu bantuan sara hidup RM1,500
Menurut Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Rauzan Esa, masalah utama yang membelenggu peneroka pada masa kini adalah kelewatan dalam pembayaran hasil. Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Inisiatif yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa Pembentangan Usul Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat pada Rabu disifatkan mampu membantu golongan peneroka.

Ini kerana, menurut Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Rauzan Esa, masalah utama yang membelenggu peneroka pada masa kini adalah kelewatan dalam pembayaran hasil.

Katanya, peneroka sangat bergantung kepada bantuan sara hidup sebanyak RM1,500 yang diberikan sebelum ini dalam bentuk pinjaman.

“Isu yang paling dekat dengan peneroka adalah isu pendapatan dan peneroka yang sedang mengalami proses tanam semula, dia sangat bergantung kepada pinjaman sara hidup yang mana dalam tempoh tiga tahun pembangunan daripada tempoh tebang dan tanam, fokus sebelum ini menerima pinjaman sara hidup sebanyak RM1,500,” katanya semasa Buletin Khas Astro AWANI, pada Rabu.

Sebelum ini, peneroka FELDA menerima elaun sara hidup (dalam bentuk pinjaman) RM1,500 bagi 10 ekar (4 hektar) tanah untuk program tanam semula atau RM150 bagi setiap ekar (0.4 hektar) dimulakan sejak 2016.

Bagaimanapun, pada Mac lalu Ketua Peneroka FELDA, Sulong Jamil Mohd Shariff mengumumkan bahawa bayaran elaun sara hidup telah dikurangkan kepada RM1,000.

Perkara itu diputuskan selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) dengan pengurusan FELDA.

BACA: Kerajaan sasar Felda pulih dalam 5 tahun - Azmin

BACA: Isu Felda: Lebih banyak nama muncul dalam siasatan - Azmin


Sementara, dalam pembentangan Laporan Kertas Putih itu, Mohamed Azmin Ali antara lain mengemukakan usaha kerajaan melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian Felda seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil 6 Tahun 2019.

Dalam perkembangan berasingan, Rauzan berkata pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menarik semula minat generasi pewaris peneroka yang kini dilihat lebih memilih untuk berhijrah ke luar bandar.

Jelasnya, generasi muda perlu mengubah mindset bahawa aktiviti pertanian adalah satu kegiatan yang kotor, selain tumpuan perlu diberikan kepada aspek pendapatan.

"Kita mahu ubah minda dan mengubah minda kita mahu beri apa? Sekarang ini kita nampak satu usaha terutamanya di media sosial yang menunjukkan bahawa dengan mengusahakan pertanian akan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

"Sebab apabila kita nak tawarkan sesuatu kepada seseorang, dia akan bertanyakan mengenai faedah, sejauh mana faedah itu boleh mengatasi apa yang dia ada sekarang," katanya lagi.

Tag: Felda, Kertas Putih, Peneroka, bantuan sara hidup, Dewan Rakyat


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.