Lebih 30 buah kotak dan bagasi dirampas dari kondominium mewah Najib Razak

Lebih 30 buah kotak dan bagasi dirampas dari kondominium mewah Najib Razak
Barang rampasan dari kondominium mewah milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lebih 30 buah kotak dan bagasi dibawa turun daripada kondominium mewah, Pavillion Residences di Bukit Bintang di ibu negara kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Rampasan itu dipercayai termasuk wang tunai, beg tangan berjenama mewah dan barang kemas.

Barangan ini merupakan hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang diketuai pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Buat masa ini, Amar Singh enggan memberi sebarang kenyataan media dan meminta pihak media bersabar sementara menanti operasi ini selesai.

Pihak media difahamkan Amar Singh akan mengadakan sidang media sejurus selepas operasi ini berakhir.

Ketika artikel ini diterbitkan, terdapat empat buah trak Polis diRaja Malaysia (PDRM) digunakan untuk membawa barangan rampasan yang dibawa turun dari kondominium mewah itu.

rampasan

Setakat jam 1.15 pagi tadi, sejumlah tujuh buah troli dipercayai digunakan untuk membawa barangan yang dirampas.