Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, meraikan lebih 7,000 rakyat Pahang pada majlis rumah terbuka baginda pada Khamis.

Majlis yang berlangsung di Istana Abdul Aziz, Bukit Istana turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohammed serta beberapa EXCO kerajaan negeri.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri berkenaan berlangsung meriah dengan kehadiran rakyat jelata pelbagai kaum yang mula memenuhi pekarangan istana seawal pukul 9 pagi.

Yang di-Pertuan Agong yang berangkat ke pekarangan istana kira-kira pukul 10.30 pagi dengan berpakaian berwarna putih berjalan dari khemah ke khemah bagi menyatuni rakyat sambil bersalaman dengan rakyat jelata dan berbual serta bertanya khabar.

Sementara itu, para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama Sultan Pahang keenam itu

Rakyat jelata juga turut mengambil kesempatan bagi mengabadikan kenangan dengan bergambar berlatar belakangkan bangunan istana.

Hidangan seperti lemang, nasi minyak, rendang ayam dan daging, acar serta sate disediakan buat tetamu.