Tindakan durjana seorang penjual burger yang tergamak mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas anak tirinya yang berusia 13 tahun 10 bulan, Mac lalu mendapat pembalasan setimpal apabila dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Keputusan itu diputuskan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob terhadap tertuduh berusia 34 tahun selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul anak tirinya dalam bilik sebuah rumah di Taman Pengkalan Indah, di sini sekitar jam 3 pagi, 30 Mac 2017 lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 10 tahun atau sebatan atau kedua-duanya.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana melakukan persetubuhan bertentangan tabii iaitu seks oral dalam bilik berasingan di rumah sama, jam 3.30 pagi tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh atas faktor kesalahan dilakukan adalah ke atas anak tirinya di mana tertuduh sepatutnya menjadi pelindung.

“Mangsa sangat muda untuk dipaksa, tangannya diikat. Tertuduh juga turut mengugut mangsa untuk bunuh ibunya kalau diberitahu perkara ini,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu hukuman ke atasnya diringankan dan telah menyesal atas perbuatannya dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

“Saya menyesal, saya dah bertaubat, saya mengaku salah. Tolonglah ringankan hukuman saya Yang Arif,” rayu tertuduh.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Wan Mohd Norisham pada penghakimannya kemudian memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala 15 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua dan hukuman penjara berjalan serentak.