Seorang lelaki direman tujuh hari bermula hari ini selepas didakwa melakukan seks dan memberi syabu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Dalilah Ismail yang membenarkan reman sehingga 18 Oktober ini.

Suspek berusia 24 tahun berpakaian lokap warna oren tiba di perkarangan mahkamah pada jam 10.23 pagi tadi.


Semalam seorang lelaki ditahan kira-kira jam 3 petang di rumahnya di Jalan Langgar, Alor Setar kerana didakwa melakukan hubungan seks dan memberi syabu kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, hasil siasatan mendapati mangsa mengenali suspek melalui aplikasi "WeChat" sebelum menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki itu yang tidak bekerja sejak beberapa bulan lalu.

Mereka juga sudah beberapa kali melakukan hubungan terlarang di sekitar daerah ini tanpa pengetahuan keluarga sambil mangsa mendakwa diberi dadah syabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.