Pelajar berbilang bangsa negara ini perlu diletakkan di bawah satu bumbung demi memastikan semangat perpaduan antara kaum tercapai.

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, ia harus dimulakan dengan menyemak semula sistem pendidikan negara selain dimulakan pada awal persekolahan.

"Jika ia tidak dipraktikkan segera, pastinya semangat perpaduan antara kaum tidak akan tercapai sampai bila-bila.

"Pemimpin negara juga harus segera memikirkan kesan jangka pendek dan panjang selain mengambil contoh Amerika yang sudah lama memperkenalkan konsep di bawah satu bumbung bagi pelajar sekolah rendah dan menengah," katanya semasa menjadi panel Usul Pendidikan semasa Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.

Selain Ibrahim, panel lain bagi sesi Usul Pendidikan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Khairil Awang dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Ibrahim juga meminta masyarakat mengubah persepsi mengenai Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sering dianggap sebagai latihan kelas kedua.

"TVET sendiri sudah meningkatan kapasiti, kualiti dan tahap program serta kurikulum mereka dengan model kerjasama baharu sekali gus mencatat peningkatan enrolmen.

"Kita seharusnya memberi sokongan dan dorongan kepada pelajar yang tidak mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Paling penting mereka perlu meneruskan pengajian dalam TVET yang sebenarnya memberi nilai kebolehpasaran lebih tinggi berbanding graduan universiti," jelasnya.

Sebelum ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu, kerajaan komited untuk terus memperkasa institusi TVET dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa depan.

Ia disebabkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan menjelang 2020 memerlukan kelayakan berkaitan program TVET.