Sebuah syarikat pembungkus dan pengedar beras hari ini didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf, kata Ketua Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Abdul Hafidz A. Rahim.

Beliau berkata mahkamah turut memerintahkan 1,283 kampit beras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM51,000 milik syarikat itu yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf yang telah disita, dilupuskan.

Katanya premis kilang syarikat K.E.K Trading (Kuching) Co Sdn Bhd itu diserbu pasukan penguat kuasa KPDNKK bersama-sama pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak pada 16 Dis tahun lalu, selepas pihaknya membuat risikan selama beberapa bulan.

Katanya Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad yang membuat tinjauan di kilang itu di Demak Laut Industrial Park, Jalan Demak Laut di sini pagi ini menjatuhi hukuman itu selepas wakil syarikat itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

"Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) dan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hafidz berkata beliau difahamkan syarikat berkenaan sudah memohon sijil halal yang diiktiraf dan memperoleh sijil itu pada Februari lepas.