Seorang lelaki berusia 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian apabila Toyota Hiace yang dipandunya dirempuh di bahagian belakang oleh sebuah lori muatan pasir dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Connaught itu, mangsa dilapor tercampak keluar sebelum digilis selepas kenderaannya dirempuh lori berkenaan.

Lori tersebut turut merempuh 12 kenderaan lain.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Operasi Negeri, Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sebuah jentera “Fire Rescue Tender” (FRT) BBP Bandar Tun Razak dengan kekuatan 15 anggota dikerah ke lokasi susulan laporan.

"Seorang mangsa wanita berbangsa Cina mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital HUKM Cheras oleh ambulans dan seorang mangsa wanita Melayu mengalami kecederaan telah pergi dengan sendiri," kata kenyataan tersebut.