LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi
Menurut Syabas, proses penyaluran air ke sistem agihan dan kolam-kolam perkhidmatan di kawasan terjejas sedang berlangsung bagi proses pemulihan berperingkat.
KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti operasi susulan insiden pencemaran bau di sumber air mentah sejak petang semalam, telah kembali beroperasi sepenuhnya pada 6 pagi ini.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), proses penyaluran air ke sistem agihan dan kolam-kolam perkhidmatan di kawasan terjejas sedang berlangsung bagi proses pemulihan berperingkat.
"Bantuan lori-lori tangki air terus digerakkan dan 12 Pusat Khidmat Setempat (PKS) diaktifkan bagi menyalurkan bantuan kepada pengguna yang terjejas hingga bekalan pulih sepenuhnya," menurut Syabas dalam satu kenyataan pagi ini.

Sejumlah 512 kawasan melibatkan 377,141 pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat susulan insiden itu.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sejak 5 petang semalam susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan punca pencemaran yang berada pada jarak 16km dari muka sauk loji telah dikenal pasti.

Orang ramai boleh merujuk makluman rasmi dan status terkini melalui laman sesawang www.syabas.com.my dan aplikasi telefon bimbit Air Selangor.

-- BERNAMA