Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Ahad menyampaikan sumbangan bernilai RM20,000 bagi membantu mangsa gempa bumi serta tsunami di Palu, Sulawesi Tengah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat menghadiri pertemuan ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, bagi menyerahkan sumbangan tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif Baitul Maal Hidayatullah (BMH) Marwan Mujahidin.

Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut.

Mohd Nazim berkata MAIPs sangat terkesan dengan tragedi yang menimpa penduduk Palu dan melantik BMH sebagai rakan kolaborasi untuk menyalurkan sumbangan rakyat Perlis kepada mangsa tragedi tsunami Palu dan Donggala di Indonesia.

"Kami memilih BMH kerana ia adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang pertama menggerakkan sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa tragedi itu," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Sementara itu, Marwan berkata sehingga kini sumbangan daripada MAIPs merupakan sumbangan terbanyak yang diterima pihaknya melibatkan sumbangan daripada masyarakat Islam di luar Indonesia sejak tragedi itu berlaku Jumaat lepas.

Gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter menggoncang Sulawesi Tengah pukul 5.02 petang Jumaat turut menyebabkan tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala yang mengorbankan lebih 800 mangsa.

-- BERNAMA