Bukan sahaja tidak profesional, malah tindakan mereka seperti tidak menghormati salah satu cabang Persekutuan negara iaitu Kehakiman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata demikian atas ketidakhadiran Majlis Peguam sewaktu Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman di Putrajaya hari ini.

“Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman ini telah dianjurkan sejak tahun 2010 lagi dan menjadi satu tradisi kepada semua pengamal undang-undang di Negara ini untuk sama-sama menyertai upacara tersebut.

“Alasan yang diberikan oleh Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke majlis ini amatlah tidak berasas kerana pada tahun ini selain Majlis Peguam Malaysia, Peguam Negara juga tidak berucap namun tetap hadir ke majlis yang bermakna ini. Malah Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak turut hadir ke majlis hari ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan media, Majlis Peguam dikatakan enggan akur dengan pertukaran format yang menghalang mereka daripada membangkitkan isu pelantikan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif pada pembukaan majlis itu.

Kebiasaannya, Peguam Negara dan Presiden Majlis Peguam akan diberi peluang untuk berucap sebelum Ketua Hakim Negara, namun tahun ini format itu ditukar oleh Jabatan Kehakiman selaku penganjur.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Majlis Peguam Malaysia yang sepatutnya mewakili sekitar 17,000 pengamal undang-undang di Semenanjung ini perlu berpegang kepada profesionalisme yang tinggi dan tidak terikat dengan apa-apa pegangan peribadi.

“Majlis Peguam Malaysia seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada pengamal undang-undang di negara ini, kerana ketidakhadiran mereka telah memberi imej yang buruk kepada organisasi tersebut,” katanya lagi.