Sebuah Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) Anti Keganasan ASEAN akan beroperasi di Malaysia pada Mei tahun ini bagi menangani ancaman keganasan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM200 juta sebagai peruntukan awal pembangunan pusat tersebut.

"Kita menggunakan model yang ada di Amerika Syarikat yang juga di Emiriyah Arab Bersatu dan itu yang akan kita tubuhkan di Malaysia.

"Kita telah mendapat peruntukan kira-kira RM200 juta sebagai peruntukan awal bagi pusat ini," katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di sini hari ini.

Tambah Zahid, sekurang-kurangnya tiga agensi akan terlibat secara langsung dalam mengendalikan pusat tersebut.

Sementara itu, menurut Zahid kaedah memerangi keganasan perlu berubah setiap masa bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk.

Katanya, masyarakat antarabangsa perlu bersatu dalam merangka strategi dan kaedah baharu.

"Keperluan kita untuk berkongsi kepakaran bagi membentuk kerjasama serantau yang lebih kukuh. Kita mesti terus bersemangat.

"Jawapan dan objektif kita sentiasa sama. Kita harus dan kita akan hentikan (kegiatan) mereka (pengganas)," katanya.