Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia memberi pampasan kepada mangsa kejadian pokok tumbang di Jalan Ampang semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata, mangsa terlibat boleh membuat tuntutan mengikut prosedur sewajarnya.

Menurutnya, tuntutan melibatkan kes-kes seumpama itu merupakan perkara yang sedia termaktub demi kebajikan mangsa.

“Kes seperti ini adalah perkara yang diluar jangkaan, kita tidak tahu bila ianya akan berlaku. Jadi mangsa boleh buat tuntutan dengan ikut prosedur seperti laporan polis dan juga di Jabatan Lanskap DBKL.

“Setiap pokok di Kuala Lumpur ada dilindungi insurans. Jadi jika mangsa mahu ambil tindakan, DBKL sedia terima,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut susulan kes itu, Mhd Amin berkata, perlantikan ‘Arborist’ untuk mengawal selia kesihatan pokok-pokok di ibu negara bakal memberi tumpuan kepada pokok yang sudah berusia.

BACA: Dua orang awam cedera, pokok tumbang di Jalan Ampang

Namun ujarnya, pihaknya berharap segala tindakan masa akan datang tidak menimbulkan pertikaian oleh warga kota.

“Bergantung kepada kesihatan pokok. Jika perlu kita akan tebang pokok-pokok besar ini. Jangan ada pula pihak yang marah DBKL tebang pokok.

“Sebab sebelum ini ada yang marah bila DBKL tebang pokok. Jadi ‘Arborist’ akan membantu DBKL kenal pasti pokok dan kawasan yang berisiko,” katanya.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, sepasang suami isteri yang baru bernikah cedera setelah motosikal yang dinaiki tidak sempat mengelak pokok besar yang tiba-tiba tumbang.

TONTON: Akar reput punca pokok tumbang

Pokok jenis hutan-hijau itu dilaporkan telah berusia lebih 130 tahun dan pemeriksaan mendapati pokok tersebut mengalami pereputan pada bahagian akarnya yang tidak dapat dilihat secara fizikal dan keadaan ini adalah di luar jangkaan.

Pereputan akar pokok itu memberi kesan kepada pertumbuhan akar pokok yang menyebabkan pokok tidak stabil dan mudah tumbang.

BACA: Pokok tumbang KLCC: Insiden tidak sepatutnya dianggap kemalangan 'luar biasa'