Walaupun Malaysia sedang melalui kemajuan yang memberangsangkan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki terutamanya dalam mencapai matlamat kelima iaitu kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

Wakil Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) untuk Malaysia dan Thailand Marcela Suazo berkata, negara perlu lari daripada kebiasaan dalam mengubah stereotaip, supaya negara dapat membina budaya yang berkualiti untuk kedua-dua lelaki dan wanita.

"Apabila wanita memasuki semula pasaran kerja, ada beberapa perkara yang perlu ditangani, antaranya diskriminasi dalam gaji yang menyebabkan perbezaan gaji akibat perbezaan gender.

"Kita perlu melihat bagaimana untuk memperkasakan wanita dan kanak-kanak perempuan bagi mendedahkan potensi mereka sepenuhnya, sebagai peserta sebenar dan penyumbang kepada ekonomi, kehidupan sosial, keluarga dan juga komuniti," katanya kepada Bernama di luar forum SDG selepas sesi pleno Mendedahkan Potensi Penuh Wanita di Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 di sini pada Khamis.

Suazo turut menyatakan kepentingan untuk mengambil kesempatan ke atas Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk memperkasakan wanita dalam mempertingkatkan lagi penyertaan wanita dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.

Lagenda Skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang merupakan salah seorang daripada panelis memberitahu Bernama, walaupun beliau tidak mengalami diskriminasi sebagai seorang wanita dalam sukan, di negara luar masih terdapat isu-isu seperti perbezaan wang hadiah kemenangan antara altet lelaki dan wanita.

"Sebagai juara dunia dalam skuasy dan mewakili wanita dalam sukan, saya rasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan isu-isu seperti ini dalam industri, kerana wanita berhak mendapat yang terbaik sama seperti lelaki.

"Pada masa ini, kita mempunyai persatuan profesional yang mana lelaki dan wanita berada dalam satu badan dan telah memberikan wang hadiah yang sama dalam kira-kira 10 kejohanan, jadi saya amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Nicol berkata perbincangan mengenai kesaksamaan gender di sidang kemuncak ini menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah yang positif berkaitan kesaksamaan gender.

-- BERNAMA