Masjid India Muslim Sungai Siput Utara yang terletak di Jalan Besar, Kampung Suppiah Pilai menjadi masjid pertama di Perak yang membuka ruang serta kemudahannya kepada pengunjung terutamanya musafir secara 24 jam.

Lebih menarik, pembukaan masjid secara 24 jam itu turut dibantu oleh individu bukan Islam di kawasan berdekatan dengan memberi pelbagai bentuk sumbangan termasuk papan tanda untuk masjid berkenaan.

Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Kuala Kangsar, Majlis Agama Islam Perak (Maipk), Faizal Mohd Spari berkata, pembukaan masjid secara 24 jam itu diharap akan mengubah persepi masyarakat yang menganggap masjid hanya sekadar tempat untuk menunaikan solat.

Katanya, masjid yang bakal menawarkan pelbagai kemudahan untuk kegunaan orang ramai itu diharap akan menjadi contoh kepada 671 masjid lain di negeri itu.

Tambah beliau lagi, sumbangan orang ramai termasuk daripada orang bukan I seharusnya dijadikan contoh bahawa perbezaan agama tidak menghalang masyarakat untuk saling membantu.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada encik M. Yogendirabalan walaupun beliau merupakan bangsa yang tidak sama agama seperti saya sekarang ini tapi ia menunjukkan bahawa kita di Malaysia hidup dalam suasana harmoni dan Islam sendiri tidak pernah menghalang kepada mana-mana bangsa dan agama untuk memberi sumbangan,” katanya.

Beliau ditemui ketika majlis penyerahan sumbangan papan tanda Masjid Mesra Musafir, Di Sungai Siput pada Sabtu.

Masjid yang dibina pada tahun 1930 tahun itu bakal menawarkan pelbagai kemudahan termasuk dewan solat, tandas, tempat istirehat dan parkir kereta kepada orang ramai.

Satu dewan baharu juga akan dibina di pekarangan masjid berkenaan dalam masa terdekat hasil daripada sumbangan M.Yogendirabalan.