MASYARAKAT negara-negara bukan Islam khususnya masyarakat di kalangan negara-negara Barat harus singkirkan sebarang sikap Islamofobia. Islamofobia adalah satu istilah kontroversi zaman kini yang merujuk kepada sikap prejudis, prasangka dan diskriminasi pada agama Islam serta umat Islam secara keseluruhannya.

Walaupun rata-rata masyarakat dari kalangan negara-negara Barat masih mengamalkan sikap toleransi antara agama dan budaya, namun masih terdapat segelintir individu serta pertubuhan yang ada di dunia barat yang suka mengatakan serta melemparkan pelbagai kata-kata kesat serta perkara negatif terhadap agama Islam itu sendiri serta umat Islam secara keseluruhannya seperti tuduhan penganas yang sering ditujukan terhadap agama Islam serta umat Islam, tuduhan terhadap tatacara kehidupan serta pemakaian umat Islam yang menutup aurat dan lain-lain yang dilabel sebagai ketinggalan zaman serta dilihat sebagai satu bentuk penindasan khususnya terhadap kaum wanita, tuduhan yang mengatakan bahawa umat Islam masa kini adalah lemah kerana masih berpegang teguh terhadap ajaran agama Islam serta pelbagai tuduhan negatif lain yang menyingung perasaan serta hati lebih satu billion umat Islam diserata dunia.

Akibat daripada pelbagai tuduhan negatif yang telah dilemparkan ini, ada umat Islam yang menjadi mangsa gangguan serta serangan dari individu-individu serta pertubuhan yang tidak bertanggungjawab terutamanya ketika mereka berada di negara-negara Barat. Segala tuduhan yang bersifat Islamofobia ini jelas menunjukkan bahawa individu-individu serta pertubuhan yang terlibat betul-betul tidak memahami ajaran sebenar yang dibawa oleh agama Islam serta kehidupan sebenar umat Islam diserata dunia.

Akibat kedegilan individu-individu serta pertubuhan ini untuk belajar mengenali agama Islam secara dekat serta bercampur gaul dengan umat Islam itu sendiri menyebabkan perasaan syak wasangka wujud dan salah faham wujud didalam pemikiran serta hati mereka. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan secara, nescaya sikap Islamofobia ini akan terus berlaku serta mula mempengaruhi generasi muda yang berada di negara Barat. Ini sekali gus akan meningkatkan lagi tahap Islamofobia orang-orang bukan Islam yang berada didunia Barat terhadap umat Islam pada masa akan datang. Tindakkan proaktif perlu diambil bagi membendung sikap Islamofobia ini dari terus berlaku disemua negara khususnya dikalangan negara – negara Barat.

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan untuk diambil ialah melalui sesi penerangan dan pendidikan berterusan yang perlu dilakukan oleh umat Islam itu sendiri kepada masyarakat bukan Islam yang berada di dunia Barat mengenai ajaran sebenar yang dibawa oleh agama Islam. Usaha penerangan dan pendidikan ini boleh dilakukan melalui sesi dialog, bual bicara, temuramah, syarahan, serta debat diantara umat Islam serta dengan masyarakat Barat. Umat Islam sendiri harus tampil berani menerangkan dengan jelas kepada masyarakat Barat bahawa agama Islam ialah agama yang sentiasa mementingkan kedamaian bukannya pergaduhan, peperangan dan keganasan.

Tindakan keganasan yang dilakukan oleh segelintir umat Islam semenjak beberapa tahun kebelakangan ini tidak langsung mencerminkan dan mewakili ajaran agama Islam yang sebenarnya serta umat Islam secara keseluruhannya. Masyarakat Barat harus diberitahu untuk menghentikan sebarang usaha untuk menyamakan agama Islam dan umat Islam dengan keganasan. Umat Islam juga harus memberi pemahaman secara terperinci kepada masyarakat Barat mengenai segala penetapan tatacara kehidupan yang telah ditetapkan oleh ajaran agama Islam untuk umatnya seperti tujuan utama dan kepentingan untuk memelihara aurat.

Masyarakat Barat juga perlu ketahui bahawa segala masalah yang sedang dialami oleh negara-negara Islam pada masa kini bukan disebabkan oleh ajaran agama Islam. Segala masalah yang menimpa umat Islam serta kebanyakkan negara-negara Islam pada masa kini berlaku atas faktor-faktor lain seperti faktor penjajahan berpuluh tahun negara-negara Barat ke atas negara-negara Islam yang telah melemahkan serta memecah-belahkan kebanyakkan negara-negara Islam.

Usaha boleh digerakkan diperingkat antarabangsa bagi mewujudkan satu bentuk konvensyen atau peruntukkan undang-undang khas yang melarang sebarang perkara yang boleh menjerumus kepada sikap Islamofobia itu sendiri. Cadangan penubuhan undang-undang khusus mengenai perkara ini penting bagi memastikan tiada pihak yang sewenang-wenangnya melemparkan kata-kata kesat dan prejudis terhadap agama Islam serta umat Islam secara keseluruhannya hingga boleh membentuk suasana kebencian serta salah faham didalam masyarakat.

Penubuhan undang-undang khusus didalam perkara ini dilihat penting supaya umat Islam dapat dilindungi dari sikap Islamofobia yang jelas bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia yang sering dilaung-laungkan dan diperjuangan oleh masyarakat Barat sendiri. Walau apa pun usaha yang ingin diambil dalam menghadapi sikap Islamofobia ini di kalangan masyarakat Barat, umat Islam hendak sentiasa mengamalkan sikap yang lebih positif dan pemikiran yang terbuka serta menganjurkan prinsip kedamaian selaras dengan ajaran agama Islam itu sendiri. Umat Islam tidak seharusnya mengikut rentak segelintir masyarakat Barat yang memiliki sikap Islamofobia ini yang hanya ingin mewujudkan suasana konflik serta pergaduhan yang berpanjangan.