Mayat seorang lelaki dengan kesan cedera di leher serta berlumuran darah ditemui tertiarap di bilik belakang sebuah rumah dekat Taman Kristal, Sungai Petani tengah hari tadi.

Mangsa, Mohamad Zainon Idris, 35 tahun ditemui sekitar jam 12.30 tengah hari oleh anggota Unit Kereta Peronda MPV IPD Kuala Muda yang membuat pemeriksaan di rumah itu setelah menerima laporan terdapat mayat seorang lelaki di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, menjelaskan pihak polis menerima laporan pada jam 12.13 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Siasatan polis mendapati terdapat kesan cedera di leher kanan mangsa dan berdasarkan keterangan daripada saksi, pihaknya mendapati kejadian berlaku pada lebih kurang jam 11.40 pagi apabila dia terkejut mendengar bunyi bising mesin pencanai besi dari bilik belakang.

Namun, katanya bunyi mesin pencanai itu berhenti secara tiba-tiba seperti terkena sesuatu sehingga menyebabkan bekalan elektrik di rumahnya terputus.

Saksi kemudian membuat pemeriksaan di seluruh rumah berkenaan sebelum menemui mangsa dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah.

Turut ditemui ialah sebuah mesin pencanai yang berada berdekatan mangsa.

Saksi dikatakan panik dan terus menghubungi isterinya dan menceritakan apa yang berlaku sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada pihak polis.

Siasatan polis terhadap jiran di kawasan sekitar turut mendapati tiada mendengar sebarang pergaduhan atau pergelutan di dalam rumah terbabit sebelum mayat mangsa ditemui.

Tambah Adzli, pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui serpihan mata mesin pencanai yang telah pecah.

Mangsa dipercayai cuba untuk mematikan suis elektrik tetapi tergelincir dan jatuh lima meter dari mesin pencanai tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).