PERAI: Perselisihan faham akibat cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki menikam isterinya sehingga mati sebelum dia bertindak menggantung diri dalam kejadian di Taman Kimsar, Perai petang Sabtu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra'ais, anak lelaki pasangan tersebut yang berusia 28 tahun menghubungi pihak polis pada jam 3 petang memaklumkan penemuan mayat ibu dan bapanya.

Polis yang tiba di lokasi kejadian menemui wanita berusia 54 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah di atas katil, manakala suaminya berusia 65 tahun ditemui tergantung di bahagian dapur rumah teres berkenaan.

Pemeriksaan di dalam bilik tidur mendapati terdapat kesan tiga kesan tikaman di leher, dada dan perut mangsa manakala sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian ditemui di sisi mayat mangsa.

Rahimi berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian bunuh dan bunuh diri itu berpunca daripada perselisihan faham dan cemburu membabitkan pasangan suami isteri tersebut.

"Anak lelaki pasangan berkenaan yang tinggal di kawasan berdekatan pergi ke rumah ibu bapanya dan terkejut sebaik menemui mayat kedua-duanya sebelum menghubungi polis.

"Kita percaya berlaku perselisihan faham di antara suami isteri itu sebelum kedua-duanya ditemui mati," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian bunuh itu dan pihak polis sedang  menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.