Polis hari ini mengesahkan hasil siasatan mendapati mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui disimen dan mereput di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong Jumaat lalu telah ditanam selama lapan minggu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata polis juga masih lagi meneruskan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian kanak-kanak yang dianggarkan berusia lapan hingga sepuluh tahun itu.

BACA: Bekas penyewa diburu susulan penemuan mayat disimen di lantai dapur

BACA: Bekas penyewa rumah dipercayai bunuh budak, sering pukul anak - Jiran

"Ketika ini polis masih lagi mengadakan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak ini dan kes ini masih lagi dalam proses penangkapan," jelas Ali.

Menurut beliau, pihak polis telah pun menahan sepasang suami isteri untuk membantu siasatan.

"Polis telah menahan si suami semalam pada pukul 6.30 petang di sebuah restoran di Keningau Sabah.

"Manakala si isteri pula, polis telah menahannya di sebuah rumah di Penampang pada jam kira-kira 1 pagi tadi," tambah Ali ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad petang.

Beliau berkata, polis juga akan menjalankan ujian DNA ke atas pasangan ini bagi mengetahui hubungan mereka dengan mangsa.

Pada Jumaat, polis menemui satu mayat disimen dan mereput yang berbalut kain di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong.

Mayat itu ditemui susulan kontraktor yang sedang mengubah suai rumah berkenaan memecahkan simen dapur itu berikutan terhidu bau busuk.