Malang tidak berbau.

Ini nasib seorang wanita yang maut dengan badannya terputus dua selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda sebelum terpelanting dan terhempas ke pokok dalam kejadian langgar lari di Iramanis, Jalan Lintas, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.56 pagi, mangsa yang berusia 23 tahun dan juga seorang juruwang sebuah stesen minyak di sini didakwa dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya sebelum ditimpa kemalangan.

Difahamkan, mangsa ketika kejadian sedang melintas laluan berkenaan untuk menyeberang ke tempat kerjanya di stesen minyak terletak bersebelahan lokasi itu dan sebaik tiba di pembahagi jalan, tidak semena-mena muncul sebuah pacuan empat roda berwarna putih dari arah Bukit Padang ke daerah Tuaran.

Akibat jarak terlalu dekat, pemandu pacuan empat roda yang berwarna putih dan jenisnya masih belum dikenalpasti gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Impak daripada rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak sebelum terhempas di batang pokok di tepi jalan sehingga menyebabkan badannya terputus dua dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi hari ini berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu pacuan empat roda itu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke pembahagi jalan dan melanggar pejalan kaki yang sedang berdiri di pembahagi jalan tersebut.

"Pihak polis juga sedang mengesan suspek ini dan menyeru agak suspek yang terbabit dalam kemalangan tampil membantu siasatan, "katanya.

Beliau dalam pada itu menambah, orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan ini di minta tampil memberikan maklumat kepada pihak polis di balai polis berhampiran atau menghubungi penyiasat trafik Inspektor Norkumala Osman di talian 013-8834239.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.