Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa sedih terhadap pencapaian orang Melayu yang beliau anggap masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Lebih malang jelas beliau, agak memalukan apabila ketika ini orang Melayu miskin di tanah air sendiri berbanding kaum lain yang datang ke negara ini hingga berjaya menguasai ekonomi sekali gus pelbagai bidang.

Sehubungan itu, katanya, orang Melayu sepatutnya perlu berusaha dan belajar lebih kuat untuk mengimbangi pencapaian dengan kaum-kaum lain.

“Kebenaran hari ini ialah di Malaysia ini orang Melayu tidak ramai dalam bandar. Mereka tidak berniaga dalam bandar dan tinggal di luar bandar.

"Rata-rata mereka miskin di negara mereka sendiri sedangkan orang yang datang daripada jauh menjadi begitu kaya sehingga bergelar jutawan," katanya ketika hadir merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya Dan Usahawan Muda Bumiputera 2018 di UiTM Shah Alam pada Sabtu.

Tambah Dr Mahathir, orang Melayu sedikit bertuah kerana masih mempunyai kuasa politik yang membolehkan mereka diberi peluang dan ruang dengan bantuan yang disediakan.

“Ya hari ini kita berkuasa dalam bidang politik. Dengan kuasa ini kita boleh bagi bantuan kepada orang Melayu. Kalaulah kita tidak ada kuasa politik maka kita akan jadi lebih daif daripada sekarang," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan yang dikecapi hari ini jika dibandingkan dengan negara lain.

Oleh itu katanya, untuk membalas rasa kesyukuran itu, kaum Melayu dan Bumiputera perlu menjaga negara ini sebaik-baiknya.

"Inilah perasaan yang perlu ada pada kita, yang pertama kena rasa malu sebab ketinggalan dan kita akan kerja lebih kuat untuk atasi kelemahan kita. Kalau kita diberi peluang untuk belajar kuasai ilmu, kita kena balas balik nikmat yang diterima secara percuma.

"Kedua, perasaan sayang kepada negara mesti ada pada kita. Kita tidak suruh jadi tentera, tidak suruh berkorban nyawa tetapi hanya suruh kita berusaha untuk bangunkan negara kita, untuk jaga keamanan di negara ini," katanya.