SEJAK kemerdekaan banyak usaha telah dijalankan untuk mempertingkatkan kedudukan wanita negara.

Banyak cadangan telah dikemukakan untuk memajukan pembangunan wanita dan mengesyorkan hak-hak mereka terpelihara. Antara advokasi yang berhasil menerusi undang-undang dan peraturan ialah:

Kini, pergerakan memperbaiki kedudukan kaum wanita supaya mereka diberi hak yang sama dengan kaum lelaki pada tahap negara dan antarabangsa disokong penuh oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goal Ke 5, iaitu Gender Equality.

Di serata dunia, wanita meraikan Hari Wanita Sedunia pada 8 March 2019 dengan penuh keyakinan bahawa mereka boleh mencapai impian dan cita-cita mereka jika diberi peluang dan sokongan padu.

Sokongan ini datang daripada kerajaan negara dalam bentuk undang-undang dan peraturan di sektor awam dan swasta yang memberi mereka peluang pekerjaan. Masyarakat juga perlu menyediakan “enabling ecosystem” atau persekitaraan yang membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara pada tahap maksimum.

Namun demikian, ramai daripada kaum wanita terutama daripada komuniti yang mempraktikkan nilai tradisional patriarki yang berpengaruh dalam sistem agama dan sosio-budaya, masih menghadapi kekangan, malah halangan besar, dalam merealisasikan hasrat mereka.

Tidak boleh dinafikan bahawa dalam perkembangan sejarah ketamadunan, sistem partriarki wujud dari dulu hingga sekarang dalam sistem sosial timur dan barat. di mana lelaki diberi kuasa utama dalam segala urusan masyarakat.

Dalam sistem patriarki pada tahap keluarga dan komuinti luar, lelaki mendahului wanita dalam segala aspek pembangunan sesebuah negara termasuk pendidikan, ekonomi, politik dan undang-undang.

Kaum lelaki lazimnya memegang hak istimewa manakala hak wanita terletak di samping ahli keluarga atau pemimpin komuniti lelaki yang dominan.

Ini bermakna wanita sentiasa bergantung kepada lelaki dan perlu merujuk kepada mereka bagi melakar perjalanan hidup. Suara wanita pudar atau kadang-kadang dipadamkan terus dalam sistem patriarki yang ketat.

Setelah membangun kian lama dengan sokongan kerajaan dan kumpulan-kumpulan yang memelihara hak mereka, wanita Malaysia amat bernasib baik jika dibandingkan dengan wanita di negara lain.

Wanita Malaysia boleh dikatakan setaraf dengan wanita di negara-negara maju kerana mempunyai suara yang lantang, yang didengari oleh pihak berkepentingan termasuk kerajaan. Kehendak mereka bakal dilayani dan menjadi kenyataan dengan adanya dasar dan pelan tertentu.

Pembangunan wanita akan lebih berkesan sekiranya sisa-sisa nilai patriarki yang masih kekal dalam masyarakat Malaysia diganti dengan sikap baru yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia, malah antarabangsa. Sikap tersebut merangkumi nilai inklusif, saling menyokong, berkolaborasi dan bermuafakat antara dua jantina utama dalam usaha memajukan manusia.

Kebanyakan agama termasuk agama Islam memandang peranan lelaki dan wanita sebagai saling melengkapi sistem sosial di mana setiap satu mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam putaran roda bergigi hidup. Setiap satu menyumbang kepada kekuatan akar tunjang masyarakat tradisional yang didominasi oleh kaum lelaki.

Dalam dunia yang berkembang pantas menjadi serba inklusif di mana peranan ekslusif jantina berubah sedikit demi sedikit dan nilai perkongsian diamalkan dalam keluarga dan masyarakat, perspektif patriarki harus digantikan dengan perspektif equal atau kesamarataan jantina. Ini bermakna lelaki dengan ikhlas mengalu-alukan penglibatan wanita dan wanita menyahut panggilan ini dengan penuh keyakinan.

Sememangnya masyarakat yang ingin menerap nilai baru akan menghadapi pelbagai rintangan dan kritikan terutama sekali daripada golongan yang selesa dengan cara lama dan sukar hendak berubah. Isu ini harus ditangani dengan penuh sensitiviti supaya cadangan-cadangan yang relevan diterima oleh majoriti masyarakat.

Pendidikan dan pendedahan kepada nilai kesamarataan jantina harus berlaku pada mulanya dalam keluarga sendiri, di mana ibu bapa mendidik anak-anak lelaki dan perempuan mereka hidup seiring dan saling membantu di mana mereka diberi kemudahan yang sama tanpa pilih kasih. Ibu bapa pula menunjukkan contoh baik dalam hubungan suami-isteri yang saling bermuafakat dan saling menghormati dalam menangani hal rumahtangga.

Dengan ini, terdidiklah generasi yang perihatin terhadap keperluan jantina yang agak berlainan dari aspek biologikal dan fizikal tetapi serupa dari aspek mental dan kognitif. Dalam sistem sensitif jantina ini, masih diakui bahawa wanita mempunyai keperluan istimewa untuk diberi perhatian oleh majikan supaya mereka dilindungi daripada perkara yang tidak diingini, seperti penderaan dan gangguan seksual.

Sistem nilai kesamarataan jantina asas harus dipupuk dalam komuniti luar dan di tempat kerja untuk menentukan tiada diskriminasi berlaku terhadap kaum wanita, malah terhadap kaum lelaki sendiri sekiranya kumpulan-kumpulan itu dipimpin oleh wanita.

Perkembangan seterusnya ialah di mana masyarakat menerimapakai dasar neutral jantina, di mana tidak wujud perbezaan antara strategi dan pelan kerjaya serta peraturan untuk lelaki dan wanita. Sistem sedemikian berlandaskan konsep demokrasi yang tulen di mana tidak terdapat sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana pihak. Ini juga bermakna tidak berlaku layanan istimewa untuk mana-mana kaum termasuk wanita.

Persoalannya: Sudah sediakah kaum wanita menerima hakikat nilai kesamarataan jantina yang membawa kepada dasar neutral jantina ini?



* Datuk Halimah Mohd Said merupakan Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.