Maklumat yang tidak disahkan hanya akan menjejaskan dan melambatkan operasi pencarian dan penyelamatan pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas.

Bukan sahaja itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata maklumat yang tidak disahkan boleh mengganggu emosi dan perasan ahli keluarga penumpang MH370 dan memberi harapan yang tidak benar kepada mereka.

“Contohnya, maklumat yang berhubung-kait dengan satelit daripada China. Pagi ini, kita terpaksa hantar aset-aset kita untuk mengesahkan sama ada ia benar atau tidak dan akhirnya ia merupakan sesuatu yang tidak benar.

“Ini menjejaskan operasi kita,” katanya apabila merujuk kepada laporan media yang mendakwa tiga objek yang dikesan oleh satelit China.

Susulan itu, Hishammuddin mengesahkan bahaa Malaysia telah menghantar pesawat pelbagai guna Bombardier ke Laut China Selatan susulan untuk mendapatkan kepastian dan mengenal pasti objek tersebut.

"Kita telah menggunakan aset yang ada dan kita tidak menjumpai apa-apa," kata beliau ketika pada sidang media di Hotel Sama-Sama hari ini.

Beliau menambah, Kedutaan China juga ada menghubungi beliau dan berkata bahawa gambar berkenaan merupakan satu kesilapan dan tidak menunjukkan apa-apa serpihan seperti yang dilaporkan oleh sesetengah pihak media.

Hishammuddin kemudian membaca satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan kedutaan China itu dimana negara itu menyalahkan pihak tidak bertanggungjawab atas penyebaran gambar tersebut.

"Penerbitan gambar satelit itu merupakan satu kesilapan. Pihak kerajaan China tidak menyokong tindakan itu yang kini berada di dalam siasatan. Imej berkenaan juga tidak mendapat pengesahan," kata kenyataan itu.

Awal hari ini, CNN melaporkan satelit China mendakwa menemui tiga objek berukuran sekitar 13 kali 18 meter, 14 kali 19 meter dan 24 kali 22 meter yang terapung di perairan Laut Cina Selatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370.

Ia berkedudukan di koordinat longitud 105 perpuluhan 63 darjah timur, 6 perpuluhan 7 darjah utara pada latitud.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Hishamuddin turut mengesahkan bahawa pesawat MH370 itu menjalani penyelenggaraan dan pemeriksaan terakhir pada 23 Februari lalu dan penyelenggaraan seterusnya dijadualkan pada 19 Jun.