Operasi mencari dan menyelamat empat nelayan yang dikhuatiri hilang di muara Kuala Dungun akan diteruskan pada Jumaat.

Misi tersebut ditangguhkan lewat petang Khamis.

Menurut Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Azmi Abdul Rahim, arus yang sering berubah serta ombak besar menyukarkan usaha pencarian.

Operasi pada hari pertama membabitkan 77 anggota termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

“Untuk aktiviti esok, kita akan dibantu oleh bot-bot pukat tunda melalui rakan kita para nelayan untuk menjalankan kerja-kerja pukat di sepanjang pantai Kuala Dungun ini.

“Jadi kita mengharapkan mangsa masih berada disekitar perairan ini,” katanya kepada pemberita.

Azmi berkata, pencarian di kawasan pesisir pantai masih diteruskan dengan bacaan arus menghala ke arah selatan.

“Selepas daripada tempoh 24 jam ni, usaha-usaha mencari di permukaan air mesti dipergiatkan lagi sebab pada masa dan ketika itulah kita sepatutnya jumpa mangsa-mangsa ini di permukaan tanpa perlu di dasar.

“Namun begitu, usaha-usaha pencarian di dasar masih diteruskan sebab keadaan muka bumi di dasar lautan ini kita tak pasti,” tambahnya.

Sementara itu, dua kapal Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, KD Bagagak dan Penggalang 17 menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan 10 batu nautika dari muara Kuala Dungun.

Dalam kejadian Rabu malam, empat nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik dipukul ombak kira-kira pukul 8.30 malam.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Zawawi Mohamed, 27 tahun, Che Mohd Afendi Ismail, 34 tahun , Mohd Nazri Yaccob , 37 tahun dan Abd Wahab Zakaria, 40 tahun .

Manakala Mohd Shazrin Yaccob, 33 tahun berjaya menyelamat diri dengan berenang ke pantai.

Insiden dipercayai berlaku selepas bot induk yang dinaiki lima nelayan terbabit gagal memasuki muara sungai Kuala Dungun ekoran air cetek sebelum menggunakan bot gentian kaca untuk ke jeti.