SEREMBAN: Keadaan cuaca panas dan kering ketika ini menyebabkan kes tangkapan ular meningkat di daerah ini dengan 366 ekor ditangkap sejak bulan lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Seremban, Kapten Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, tangkapan paling banyak melibatkan spesies ular sawa iaitu (256 ekor) diikuti ular tedung (23) ekor.

"Daripada jumlah tersebut, 220 ekor ditangkap pada bulan Januari manakala 146 ekor pula ditangkap pada bulan Februari.

"Sekurang-kurangnya 10 aduan diterima pada setiap hari berkaitan kes haiwan berbisa terbabit menceroboh masuk dan bersembunyi di dalam rumah penduduk," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, aduan paling tinggi diterima melibatkan kawasan Mantin, Labu dan Senawang.

Tambahnya, kes paling banyak diterima ialah reptilia terbabit ditemui bersembunyi di dalam lubang tandas, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Ular paling besar ditemui ialah spesies ular sawa iaitu seberat 10 kilogram dengan panjang 2.4 meter.

"Kita berharap penduduk jangan mengambil langkah sendiri menangkap ular, hubungilah pihak berkaitan yang mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dan menjaga kebersihan di rumah masing-masing bagi mengelakkan kehadiran ular berkenaan.

Ujarnya, selain stor, bilik tidur dan tandas, haiwan berbisa itu juga suka 'berehat' di dalam kasut.

Selain itu katanya,ular yang ditangkap akan dibawa pulang ke pejabat APM daerah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. - Sinar Harian