Moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit di Pahang dilanjutkan tiga bulan lagi iaitu sehingga 30 Jun, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pelanjutan moratorium yang dipersetujui Jemaah Menteri itu diputuskan selaras dengan persetujuan kerajaan Pahang.

"Ia akan memberi ruang kepada pengusaha mengosongkan baki stok dan menyediakan langkah mitigasi pencemaran di semua rantaian perlombongan dan pengeksportan bauksit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Moratorium perlombongan bauksit bermula pada 15 Jan tahun lepas bagi mengawal isu pencemaran akibat aktiviti tersebut dan disambung beberapa kali dengan yang terkini bakal berakhir pada 31 Mac ini.

Wan Junaidi berkata baki bauksit sebanyak 2.15 juta tan metrik masih berada di sekitar Kuantan, Pahang.

Katanya hanya 3.25 juta tan metrik bauksit sahaja telah dieksport melalui Pelabuhan Kuantan dan Kemaman, Terengganu sehingga 28 Feb lepas.

Wan Junaidi dalam pada itu berkata kementerian telah dimaklumkan masih terdapat aktiviti perlombongan di luar waktu penguatkuasaan.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya akan bekerjasama dengan kerajaan Pahang dan semua agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengusaha perlombongan haram berkenaan. --Bernama