Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mempertahankan keputusan pihaknya dalam memberi 10 meter padu air percuma kepada isi rumah berpendapatan rendah di negeri ini.

Beliau menegaskan usaha itu dibuat setelah mengambil kira kemampuan Kerajaan Negeri serta ingin memenuhi manifesto Pakatan Harapan dan membantu rakyat berpendapatan rendah.

Dengan inisiatif itu, sesebuah isi rumah yang memperoleh bil air, contohnya, RM100 hanya perlu bayar RM90 kepada Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill manakala RM10 lagi disubsidi oleh Kerajaan Negeri.

"Kalau dulu kerajaan boleh bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), sekarang apa bezanya?" kata beliau kepada pemberita selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Daerah Johor Bahru anjuran Yang Dipertua PIBG dan PIBK Daerah Johor Bahru di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati Ketua Pembangkang Johor Datuk Ir Hasni Mohammad supaya 'belajar' (kaji) dahulu inisiatif terbabit sebelum membuat sebarang kenyataan kepada media.

"Kalau saya hendak komen dia, contohnya tentang Empangan Air Sembrong di Kluang libatkan RM70 juta. Airnya tidak boleh dikeluarkan untuk bekalan air, kerana apa? Kerana tidak ada loji rawatan. Jadi kolam (empangan) itu hanya boleh bela ikan. RM70 juta, itu tidak membazir?" soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kenyataan Hasni yang mengganggap Kerajaan Negeri sepatutnya berusaha memperoleh kuasa dan suara (pegangan) yang lebih dalam syarikat SAJ Ranhill daripada melaksanakan inisiatif terbabit.

"Kita sekarang memang mempunyai share (pegangan dalam SAJ) tetapi kalau dia nak kita tambah, minta duit dialah suruh tambah," katanya.

Semalam, Hasni menyifatkan keputusan Kerajaan Negeri untuk memberi 10 meter padu air percuma dengan perbelanjaan RM25 juta setahun tidak memberi kesan kepada golongan sasar tetapi sebaliknya hanya menguntungkan syarikat air yang dimiliki pihak swasta.

Beliau berkata sekalipun mahu menunaikan janji mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Kerajaan Negeri sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu berkenaan perkara itu.

Pemberian air percuma kepada 395,000 isi rumah yang layak di Johor akan dilaksanakan bermula awal September ini selepas mendapat kelulusan daripada mesyuarat Exco KerajaanNegeri, Rabu lepas.Pemberian itu adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan pada PRU14.

Mengenai isu bauksit yang menghantui penduduk Minyak Beku, Batu Pahat dekat sini, Osman berkata beliau baru mendapat tahu perkara itu semalam dan belum mendapat laporan mengenainya.

"Jangan beranggapan saya tidak tahu sejarah, tidak peka dan sebagainya. Sesuatu perkara kita mesti dapat laporan tepat kerana kalau hendak bercakap pun, perkara itu biarlah tepat," katanya.

Media kelmarin melaporkan aktiviti harian penduduk di kawasan itu terjejas setelah tempat berkenaan dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan bauksit sejak dua bulan lepas.

Berikutan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor difahamkan sudah mengarahkan pegawainya untuk menjalan siasatan segera dan akan mengeluarkan notis arahan sekiranya memang berlaku pencemaran.

-- BERNAMA