Kejadian kemalangan membabitkan dua kematian penunggang motosikal di Kilometer 135, Jalan Sandakan - Lahad Datu, berhampiran Kampung Paris 3, semalam, bukan disebabkan langgar lari seperti yang tersebar di laman sosial.

Sebaliknya, dalam kejadian jam 7 petang itu, motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha LC telah bertembung secara berhadapan.

Pertembungan menyebabkan Zulfadlie Baharudin, 19, penunggang motosikal Honda Wave dan Ramli Karim, 24, penunggang Yamaha LC meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Manakala, rakan Ramli yang juga pembonceng berusia 20 tahun, mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Semalam, video selepas kejadian tular di laman sosial dan kononnya kejadian akibat langgar lari.

Menerusi video berkenaan, mayat mangsa bergelimpangan di jalan raya dan seorang lelaki dipercayai salah seorang ahli keluarga meraung di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal dari arah bertentangan.

"Penunggang Honda Wave yang bersendirian dari sebuah ladang menuju ke Lahad Datu dan sebuah motosikal dari arah Lahad Datu.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang, 19, hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan seterusnya merempuh motosikal Yamaha dinaiki dua lelaki berkenaan.

"Motosikal dipercayai bertembung depan dengan depan. Akibat kejadian, kedua-dua penunggang dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut A. Sahak, mayat dihantar ke bilik mayat Hospital Kinabatangan dan mangsa parah dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati, punca kejadian disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang bersendirian kerana hilang kawalan.

"Namun demikian, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.