KUALA LUMPUR: Honda Malaysia mencatatkan jualan lebih daripada 80,000 unit kenderaan, yang mana mencapai sasaran jualan tahunannya untuk 2023.

Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata, pencapaian cemerlang itu membolehkan pihaknya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kereta nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama 10 tahun berturut-turut.

Beliau berkata, tahun 2023 merupakan tahun pemulihan beransur-ansur dan prospek positif, yang mana Honda Malaysia berjaya melancarkan sejumlah empat model baharu pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, model-model tersebut ialah WR-V, City, Civic Type R dan CR-V serba baharu.

"Tiga model terlaris pada 2023 ialah City, HR-V dan City Hatchback yang menyumbang 30%, 25% dan 13% masing-masing kepada jualan keseluruhan syarikat.

"Selain itu, WR-V, HR-V, CR-V dan Civic muncul nombor satu dalam segmen masing-masing.

"2023 terbukti sebagai tahun yang mencabar yang mana kami menghadapi pasaran yang kompetitif.

"Bagaimanapun, Honda Malaysia berjaya mengatasi dan mencapai sasaran jualan kami pada 2023 dengan sokongan padu daripada pengedar kami dan Kerajaan Malaysia," katanya dalm kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Honda Malaysia, pencapaian cemerlang tahun ini sebahagian besarnya disumbangkan menerusi pelancaran WR-V pada Julai tahun lepas, yang mana SUV kecil ikonik itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pasaran.

Katanya, varian RS ialah penyumbang terbesar, menyumbang 60% daripada jumlah jualan setakat ini. Syarikat menjual lebih daripada 7,800 unit WR-V dalam tempoh enam bulan pertama pelancaran, mengesahkan populariti WR-V di Malaysia.

Selain itu katanya, jualan untuk model hibrid Honda Malaysia (e:HEV) juga meningkat daripada lebih 4,100 unit pada 2022 kepada lebih 7,700 unit pada 2023.

"Ini mewakili pertumbuhan 187% yang mengagumkan bagi model e:HEV yang diterima baik dalam pasaran."

Pada 2023, model e:HEV Honda menyumbang 28% kepada keseluruhan jualan hibrid di Malaysia, yang merupakan sumbangan penting kepada pertumbuhan EV di negara ini.

"Honda Malaysia komited menyediakan kualiti terbaik dari segi penawaran produk, jualan dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggannya.

"Syarikat optimis mengenai sektor automotif pada 2024, yang dijangka menjadi satu lagi tahun menarik untuk industri," katanya. - DagangNews.com