WASHINGTON: American Honda Motor Co memanggil semula kira-kira 1.2 juta kenderaannya di Amerika Syarikat berhubung isu keselamatan berikutan kecacatan yang boleh mengakibatkan kamera undur gagal memaparkan imej pada skrin papan pemuka, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Panggilan balik itu bertujuan untuk menangani potensi risiko yang ditimbulkan oleh isu berkenaan yang mempengaruhi model tertentu kenderaan Honda: Odyssey 2018-2023, Pasport 2019-2023 dan Pilot 2019-2022.

Kerosakan dikenal pasti dengan penyambung kabel sepaksi yang dipasang pada sistem paparan media dalam kenderaan itu. Kabel yang rosak juga boleh menyebabkan imej kamera undur tidak muncul pada paparan di dalam kereta, menjejaskan keupayaan pemandu untuk melihat apa yang ada di belakang kenderaan.

-- BERNAMA