Program MyDaftar telah membantu kira-kira 8,000 masyarakat India memiliki dokumen pengenalan diri sejak dilancarkan pada Februari 2011, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF) berkata, ia sebahagian daripada 10,000 permohonan yang berjaya diproses membabitkan dokumentasi kelahiran, perkahwinan, kad pengenalan dan kewarganegaraan.

"Ia (MyDaftar) program berterusan membantu masyarakat India yang tidak mempunyai pengenalan diri walaupun telah sekian lama bermastautin di negara ini," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada 40 pemohon di kementeriannya di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

MyDaftar, yang melibatkan kerjasama SITF, Kemementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara, merupakan program membantu masyarakat India di negara ini yang tidak memiliki dokumen berkaitan kelahiran, pengenalan dan kewarganegaraan menyelesaikan masalah dokumentasi mereka.

Subramaniam berkata masyarakat India juga perlu mempunyai kesedaran berkenaan kepentingan mendaftarkan perkahwinan dan setiap kelahiran anak mereka.

"Mustahak disedari serta dilakukan setiap orang yang berada di negara ini bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan," katanya.

Nur Jazlan dalam ucapan ringkasnya berkata KDN memberikan perhatian serius terhadap perkara berkaitan dokumen pengenalan diri kerana selain berfungsi sebagai rujukan status kewarganegaraan seseorang, ia juga merupakan dokumen asas yang diguna pakai untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.