MIC telah mengambil pendirian untuk mendekati golongan muda dengan memahami nadi, keperluan dan aspirasi generasi muda jika ingin melihat sokongan mereka terhadap calon parti pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata memberi peluang kepada golongan muda menceburi bidang politik sahaja tidak cukup kerana golongan ini memiliki keinginan dalam pelbagai perkara.

"Kita perlu mengetahui isu dan masalah yang dihadapi mereka selain mengadakan program tertentu bagi mengembalikan keyakinan mereka kepada parti ini, " katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Khas MIC Johor, di sini pada Jumaat.

Konvensyen itu, yang diadakan susulan pemilihan semula di peringkat bahagian dan cawangan baru-baru ini, dihadiri kira-kira 1,000 perwakilan.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan MIC Johor, Datuk M. Asojan.

Dr Subramanian, yang juga Menteri Kesihatan, berkata di Johor, beliau tidak khuatir tentang kemampuan MIC untuk memenangi hati pengundi kerana sudah terbukti ia menang kesemua kerusi ditandingi pada pilihan raya-pilihan raya lalu.

"Cuma pada pilihan raya umum yang lepas sahaja kita kalah di satu daripada lima kerusi ditandingi.

"Disebabkan faktor itu, kita perlu bekerja kuat bagi semula kerusi yang kalah dan pada masa sama mengekalkan kerusi-kerusi lain," jelasnya.