Nelayan yang hilang dilaut sewaktu menangkap ikan ditemui lemas kira-kira jam 10.45 pagi ini di Perairan Pasir Blanda, Teluk Kumbar.

Mayat Mohd Fikri Jamil, 27, dijumpai nelayan tempatan dalam keadaan terapung berdekatan Pulau Kendi, kira-kira 3 kilometer dari persisiran pantai.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Tanjung Asam dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) membabitkan, antaranya, 12 anggota dan pegawai Bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan nelayan tempatan, yang membuat pencarian di kawasan persekitaran bot mangsa ditemui.

Operasi SAR ditamatkan pada jam 11.47 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat, Mohd Fikri yang baru menimang cahaya mata kedua turun ke laut bersendirian untuk menangkap ikan di perairan Teluk Kumbar, sebelum dilaporkan hilang.

Allahyarham Mohd Fikri meninggalkan dua anak yang masih kecil dan isteri yang sedang dalam pantang.