Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi kredit kepada Tun Dr Mahathir yang berjaya sekali lagi menerajui pentadbiran negara.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra disapa Ku Li, menjelaskan bahawa strategi yang diguna Dr Mahathir nampaknya telah membuahkan hasil.

Katanya, pada PRU14 lalu, Dr Mahathir telah berjaya membuktikan bahawa beliau bukan calang-calang pemimpin.

“Saya bagi kredit kepada Tun M, beliau azam sangat nak kepada kuasa nak tukar pimpinan kerajaan, dan beliau telah berjaya kerana siang dan malam menggunakan strateginya.

“Untuk menghasilkan cita-cita itu, beliau berjaya mengajak rakyat... kebetulan rakyat pun marah kepada kita (UMNO), atas segala kesilapan yang kita lakukan, yang kita barangkali tak sedar dan tak insaf, ajak rakyat menolak kita dengan Pakatan Harapan beliau berjaya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di kediamannya di sini, semalam.

Jelasnya, Dr Mahathir telah berjaya dengan sokongan rakyat yang mutlak.

“Kita tak boleh nafi dan kita telah lakukan kesilapan, sekarang jadi kena insaf dan baiki diri dan parti kalau masih dengan tabiat lama yang buruk menyebabkan rakyat tolak kita saya kira kita tiada masa hadapan.

“Tetapi saya yakin kita boleh baiki kerana penjajah yang berkuasa 2/3 dunia ini dulu British kita dengan tiada apa-apa ilmu, senjata, harta, mampu tolak mereka dan dapat merdeka jadi mengapa sekarang ramai orang kita cerdik pandai, berilmu tak boleh jayakan perjuangan kita,” katanya.

Pada PRU14 lalu BN buat pertama kali setelah 61 tahun memerintah negara kalah dalam pilihan raya berkenaan.

Dalam PRU itu, Pakatan Harapan yang diterajui Dr Mahathir berjaya membentuk kerajaan sekali gus mencipta lembaran baharu buat negara.