Kementerian Pertahanan merancang untuk mewujudkan pangkalan udara di pelantar minyak dan gas di Sarawak dalam usaha memperkukuh kawalan keselamatan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata usaha itu bertujuan menangani ancaman keselamatan di perairan negeri ini secara lebih berkesan.

Menurutnya, pelantar minyak dan gas di perairan Bintulu dilihat sebagai lokasi sesuai untuk dijadikan pangkalan pendaratan udara bagi kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pangkalan sama sudah diwujudkan di Sabah dengan kerjasama Petronas dan ia berupaya mempercepatkan tindak balas terhadap ancaman pengganas.

"ATM boleh mendaratkan helikopter dan pesawat peninjau udara kawalan jauh dari pelantar minyak berkenaan," katanya pada perasmian Karnival Usahawan Veteran ATM, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Menteri Muda Perhubungan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata inisiatif itu akan diputuskan selepas pilihan raya Sarawak kerana membabitkan kos besar.

"Di Sabah, kita membelanjakan kira-kira RM100 juta untuk tujuan itu dan oleh kerana ekonomi belum stabil, kita akan tentukan perkara berkenaan kemudian," katanya.