Seramai 222 penghuni yang menetap di 40 unit rumah di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, di ibu negara terpaksa dipindahkan bermula tengah malam tadi.

Ia susulan keretakan yang dikesan pada struktur pangsapuri yang kini dilaporkan semakin teruk.

Keretakan terutamanya di beberapa bahagian dinding serta lantai serta di bahagian laluan koridor pangsapuri terbabit jelas kelihatan dari luar dan dalam kediaman penghuni.

Menurut Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof keputusan mengarahkan penduduk berpindah dibuat selepas perbincangan diadakan antara pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya, (MPAJ), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pengerusi jawatankuasa penduduk pangsapuri berkenaan.

Beberapa anggota Polis memeriksa 222 penghuni daripada 40 pintu flat Blok F terpaksa mengosongkan kediaman mereka sebelum jam 12 tengah malam tadi. - Foto Bernama
“Daripada (pemeriksaan) Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan berdasarkan penemuan-penemuan keretakan yang masih aktif terdapat di Blok F iini maka bangunan ini disyorkan untuk dikosongkan.

“Justeru Jawatan Kuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah Gombak diaktifkan dan kita akan mengosongkan bangunan ini bermula jam 12 malam ini.

“Penduduk blok ini sudah dibanci sejumlah 37 keluarga melibatkan 222 penduduk akan kita pindahkan ke sekolah menengah kebangsaan taman keramat,” kata Ahmad Fairuz ketika ditemui di sini malam tadi.

Seramai 222 penghuni daripada 40 pintu flat Blok F terpaksa mengosongkan kediaman mereka sebelum jam 12 tengah malam ini sementara susulan penemuan keretakan aktif sejak tengah hari Jumaat di Flat Taman Keramat Permai malam ini. - Foto Bernama

Pemindahan sementara waktu itu adalah sehingga penilaian penuh dibuat terhadap unit kediaman mereka.

Menurut penduduk, retakan terbaharu turut dikesan sejak awal pagi Jumaat dan dipercayai berpunca akibat hujan menyebabkan struktur tanah di kawasan itu berkemungkinan mendap.

Bagaimanapun penduduk mendakwa kesan retak itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu namun ia tidak menembusi dinding sebaliknya hanya kelihatan pada permukaan dinding serta lantai saja.