Sebuah papan iklan Pilihan Raya Umum ke-14 Barisan Nasional yang memaparkan gambar perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Jerantut, Pahang disimbah cat hitam.

Insiden vandalisme pada papan iklan yang dinaikkan dua minggu lalu di persimpangan Jerantut-Temerloh berhadapan Masjid Inderapura itu disedari penduduk tempatan pada jam 10 pagi Selasa.

Susulan kejadian, BN bahagian Jerantut telah membuat laporan polis pada jam 3:20 petang tadi.

Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Nizam Mohd Hassan, 53 tahun, berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat mengenai dalang di sebalik kejadian itu.

Namun perkara itu diakui merupakan yang pertama seumpamanya berlaku pada tahun ini.

“Ini adalah perbuatan yang tidak sihat dan merupakan suatu penghinaan kepada pemimpin negara dan pengerusi BN, jadi kami bertindak membuat laporan polis hari ini.

“Kita tidak mahu menuduh siapa-siapa kerana kami masih belum mendapat maklumat mencukupi mengenai perkara ini.

"Disebabkan itu kami akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita sejurus ditemui di Balai Polis Jerantut, tengah hari tadi.

Menurut sumber, Perdana Menteri bakal melawat kawasan Jerantut dan Kuala Lipis pada 25 April ini.