Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk meneliti isu-isu berhubung golongan minoriti di Malaysia terutamanya komuniti India.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata selain isu berkaitan golongan minoriti komuniti India, pasukan petugas khas itu juga akan memberi fokus kepada golongan anak muda, golongan wanita dan juga Orang Asli.

Menurut Tun Dr Mahathir, pasukan petugas khas itu dipengerusikan oleh beliau selaku Perdana Menteri bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta beberapa wakil daripada Menteri Dalam Negeri.

“Kita telah bersetuju untuk adakan satu taskforce terdiri daripada Perdana Menteri sebagai pengerusi, Menteri Pertahanan dan beberapa orang daripada Menteri Dalam Negeri untuk memfokus komuniti India, golongan muda, golongan wanita dan juga Orang Asli.

"Tetapi apa yang paling penting ialah untuk kami melihat masalah yang dihadapi oleh komuniti India,” kata Mahathir pada sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan yang berlangsung di Menara Yayasan Selangor pada Khamis.