Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata khidmat pasukan sukarelawan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sangat diperlukan untuk membantu melicinkan urusan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCom).

Beliau berkata keselamatan negara bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan melalui pasukan keselamatan, tetapi ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakyat dan pasukan sukarelawan.

"Saya menggalakkan agar masyarakat di ESSZone menyertai anggota sukarelawan dalam apa sahaja agensi, khususnya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Kita tahu JPAM terbabit dengan kebajikan ... dan boleh bersama membantu ESSCom dalam perkara yang ditentukan kelak," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke beberapa pulau di sekitar Lahad Datu dan Semporna, dekat sini, pada Selasa.

Shahidan berkata, beliau turut meminta anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah berkenaan untuk mengalakkan masyarakat setempat agar turut serta dalam usaha menjaga keselamatan di kawasan masing-masing.

"Keselamatan negara akan terjamin kalau rakyat menyertai bersama," katanya.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya itu, Shahidan berkata ia bertujuan untuk meninjau tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan aset-aset yang dimiliki oleh ESSCom.

"Saya cukup berpuas hati dengan pelbagai cara dan inisitif pemilikan aset yang dibuat oleh ESSCom untuk memantapkan tagi tahap keselamatan di pantai timur Sabah. Mereka telah mendapatkan aset yang jauh lebih murah dan cepat. Ia sangat luar biasa kerana ia dapat menjimatkan bajet yang diperuntukkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Shahidan sekali mengingatkan agar pengusaha pusat peranginan di ESSZone agar mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh ESSCom.

"Apa yang kita lihat kebanyakan pengusaha pusat peranginan telah mematuhi arahan yang dikeluarkan ESSCom. Namun ada lagi satu atau dua pengusaha resort yang tidak memberi kerjasama disebabkan hal-hal tertentu.

"Contohnya kita minta ada pasukan keselamatan mengiringi pelancong yang melakukan aktiviti menyelam. Tetapi ada pengusaha yang tidak memberikan kerjasama. Pengusaha seperti itu tidak sepatutnya bersama kita di dalam ESSZone...jika terjadi apa-apa akhirnya mereka (pengusaha) akan lepas tangan
dan ESSCom pula yang dipersalahkan," tegas beliau.