Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon mengadakan pertemuan dengan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Hussein Haniff bagi membincangkan perkembangan terkini di Sabah, pada Jumaat.

Pada pertemuan itu, Ki-moon mengambil maklum usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dan Filipina bagi mencari penyelesaian damai kepada krisis pencerobohan di Lahad Datu.

"(Setiausaha Agung PBB) mengulangi harapannya agar keadaan itu akan dapat diselesaikan segera," kata jurucakap PBB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di New York.

Ki-moon berharap segala usaha diteruskan untuk memastikan hak asasi manusia dihormati serta mengelak lebih banyak korban jiwa.

Ini adalah kenyataan kedua yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PBB itu berhubung krisis pencerobohan kumpulan pengikut waris Kesultanan Sulu yang dilabelkan sebagai pengganas.
Beliau sebelum ini menggesa semua pihak terlibat mengambil jalan rundingan untuk menyelesaikan krisis.

Susulan kenyataannya itu, Jamalul Kiram III yang dianggap sebagai Sultan Sulu mengisytiharkan gencatan senjata dan meminta pasukan keselamatan Malaysia ikut sama menghentikan serangan.
Permintaan beliau ditolak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka digesa serah diri dan letak senjata tanpa syarat.

Krisis pencerobohan ini bermula sejak 12 Februari lalu itu selepas kumpulan itu menceroboh Lahad Datu bagi membangkitkan soal tuntutan pemilikan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah.

Ia bagaimanapun mula memuncak selepas 8 anggota polis terbunuh dalam dua insiden berasingan pada 1 dan 2 Mac.

Polis Diraja Malaysia yang dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia kemudian pada 5 Mac melancarkan operasi gempur ke Kampung Tanduo dekat Lahad Datu yang jadi kubu kumpulan itu.

Sehingga Jumaat, 52 penceroboh disahkan berjaya dibunuh oleh pasukan keselamatan.