Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyedari kebimbangan banyak negara termasuk Malaysia mengenai gelombang kedua jangitan pandemik COVID-19.

Bagainamapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah memberi impak positif kepada pengurangan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Justeru, ujar beliau, pelaksanaan tersebut mampu mempersiapkan negara untuk mendepani sekiranya berlaku gelombang kedua.

“Setakat ini, kita telah melakukan yang terbaik. (Namun), untuk mengimbangi sektor ekonomi, kita membenarkan (hampir keseluruhan) sektor ekonomi beroperasi semula dan kita memperkenalkan PKPB pada 4 Mei lalu.

“Jadi, apa yang kita lihat hari ini adalah hasil rancangan pada 14 hari lalu,” katanya pada sidang media harian, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu katanya, apa yang lebih penting adalah KKM sentiasa menggalakkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP dan PKPB.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 25,156 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19, setakat ini.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut seramai 1,112 kes dikesan positif iaitu bersamaan 4.8 peratus.

"Daripada jumlah tersebut, 495 atau 40.9 peratus sedang dirawat di hospital, dengan tiga kes di Unit Rawatan Rapi (ICU), 712 kes sudah pulih manakala empat kes kematian," katanya.