Pemain industri pelancongan harus sentiasa menasihatkan pelancong ke negara ini untuk menjaga barangan peribadi masing-masing.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tanggungjawab itu turut diletakkan kepada bahu orang awam untuk sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Jelasnya, kes berkenaan sekali gus akan merencatkan industri pelancongan selain meminta semua pihak tidak menyebarkannya di media sosial.

"Ia akan merencatkan industri pelancongan negara malah memberi ketakutan kepada orang luar untuk datang ke negara kita.

"Selama ini kita tengok pelancong datang dari luar negara dan menikmati keindahan namun saya tidak menidakkan dalam kes peragut ini mereka sendiri menjadi target kepada peragut.

"Mereka di dalam industri juga perlu memberi peringatan kepada pelancong supaya menjaga keselamatan diri dan harga benda," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Pameran Selam Antarabangsa Malaysia (MIDE) 2017 di sini hari ini.

Mas Ermieyati mengulas kejadian seorang wanita warga China yang menjadi mangsa ragut ketika sedang berswafoto di Dataran Merdeka kira-kira jam 12.30 tengah hari Selasa.

MIDE adalah acara tahunan yang dikelolakan Asia Events Exsic sejak tahun 2006.

Acara yang diadakan buat kali yang ke 12 itu diadakan sehingga Ahad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam pada itu katanya, seramai 62,660 orang penyelam dan peminat snorkeling di Semenanjung pada 2012 dan 53,653 orang di Sabah.

"Angka itu meningkat kepada 82,250 orang pada 2015 di Semenanjung dan 73,477 orang di Sabah pada 2016.

"Paling penting mereka yang terlibat dengan aktiviti ini perlu sentiasa menjaga keindahan dasar laut selain memberi sokongan dalam usaha memulihara serta memelihara yang dilakukan," jelasnya.