Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 di Mahkamah Majistret ke atas seorang pemandu lori kerana memandu di bawah pengaruh alkohol Januari lalu.

Majistret Azizah Ahmad membuat keputusan itu selepas S Subasangkara, 26 tahun, dari Rawang, Selangor, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Subasangkara didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Kilometer 10 Jalan Kuantan-Pekan pada 12 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 dan RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, manakala bagi kesalahan seterusnya, boleh didenda hingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun.

BACA: Pemandu mabuk perlu dikenakan hukuman yang lebih berat - PDRM

Mengikut fakta kes, Subasangkara ditahan selepas gagal berhenti di sekatan jalan raya di Kilometer 10 Jalan Kuantan-Pekan dan apabila pemeriksaan dilakukan, didapati dia memandu dalam keadaan mabuk berikutan penemuan satu botol arak di tempat letak barang dalam lori tanpa muatan itu.

Pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Halimatun Saadiah Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BACA: Polis tahan dua lelaki memandu dalam keadaan mabuk