Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai melakukan kegiatan mencuri sebuah beg tangan seorang jemaah wanita warga emas di Masjid al-Muttaqin Bandar Baru Putra, Ipoh di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, seorang jemaah wanita dilaporkan membuat aduan kelihatan beg tangan ketika sedang menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa sedang menunaikan solat sebelum mendapati beg tangan miliknya yang diletakkan di hadapan tiba-tiba hilang.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan mendapati seorang lelaki berpakaian gelap telah mengambil beg tangan itu.

"Dalam rakaman berdurasi 22 saat, lelaki yang memakai baju T-shirt berwarma hitam kelihatan meninjau keadaan dalam masjid.

"Suspek kemudian melarikan beg tangan wanita secara terburu-buru ketika jemaah lain sedang khusyuk menunaikan solat," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.


Menurut Mohd Ali, beg tangan tersebut yang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, wang tunai lebih kurang RM500 serta telefon bimbit.

Beliau berkata pihaknya juga cuba menghubungi telefon mangsa namun telah dimatikan.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.