Penduduk Seputeh terjejas ribut diminta lapor polis

Penduduk Seputeh terjejas ribut diminta lapor polis
Pusat Kawalan Operasi Pertahanan Awam Kuala Lumpur menerima kes pokok tumbang melibatkan halang laluan dan menghempap kenderaan susulan kejadian ribut pada Sabtu. Foto Facebook Pertahanan Awam Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Penduduk di sekitar Seputeh di sini termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah di Jalan Klang Lama yang terjejas akibat kejadian ribut petang Sabtu, diminta membuat laporan polis dan mengumpul bukti bergambar bagi tujuan menuntut ganti rugi daripada pihak berkaitan.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata pihaknya akan membantu mangsa membuat tuntutan ganti rugi tersebut selain menjalankan kerja membaik pulih kediaman yang terjejas.

Sumbangan daripada Pejabat Ahli Parlimen Seputeh juga akan disalurkan kepada mangsa selepas mereka membuat laporan polis dan dokumen berkaitan diteliti, katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan Blok C PPR berkenaan, di sini pada Ahad.

Kejadian ribut pada 4 petang Sabtu menyaksikan banyak kediaman termasuk bangunan PPR 17 tingkat tersebut dan kenderaan penduduk di kawasan Parlimen itu mengalami kerosakan teruk dengan ada sebahagian kenderaan terbabit dihempap pokok milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mengulas lanjut, Setiausaha Pejabat Ahli Parlimen Seputeh Alice Tan berkata pemilik kenderaan dan kediaman yang terjejas kerana dihempap pokok milik DBKL boleh menuntut ganti rugi daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Bagaimanapun katanya kenderaan yang diletak di kawasan larangan parkir tidak layak berbuat demikian.

Sementara itu, beberapa penduduk PPR tersebut yang ditemui berkata mereka menyangka blok bangunan tersebut akan runtuh apabila terdengar bunyi bising yang terlalu kuat ketika ribut melanda.

Zabidah Setapa, 40, berkata dia amat takut ketika melihat kayu-kayan dan serpihan zink dari bumbung kediamannya dan jiran bersebelahan di tingkat paling atas diterbangkan angin kuat.

"Sudah tujuh tahun saya tinggal di sini dan semalam merupakan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku disebabkan hujan lebat dan angin kuat," kata ibu kepada tiga anak itu.

Bagi suri rumah Noorhaizan Shahar, 42, dia yang baru beberapa minggu pindah di situ kini berdepan kesukaran untuk menghantar anak ke sekolah berikutan kereta Perodua Kancil miliknya rosak teruk dihempap kayu dan zink yang jatuh dari blok tersebut.

"Sekolah anak agak jauh dari sini," katanya. 

-- BERNAMA