SEORANG lelaki di Filipina sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan majlis perkahwinan pasangan pengantin berjalan lancar.

Rakaman video yang dikongsi di akaun perancang perkahwinan Roel Lunesa menunjukkan dia keluar dari bawah gaun pengantin perempuan tersebut.

Katanya, tindakannya itu bagi membantu wanita tersebut berjalan ketika upacara perkahwinan berlangsung.

Bercakap kepada Newsweek, Lunesa berkata dia terpaksa membantu pengantin itu berjalan kerana angin kencang ketika majlis tersebut berlangsung.

"Ketika majlis berlangsung pada 6 Jun lepas di Resort Louie Beach di Pinamungajan, angin kencang menyebabkan pengantin perempuan sukar untuk berjalan.

"Dia sentiasa terpijak atas gaun pengantinnya akibat angin," katanya.

Dalam rakaman video tersebut, pengantin perempuan dilihat terhenti beberapa kali bagi membetulkan gaunnya.

Sebelum tiba di hadapan paderi, Lunesa dilihat keluar dari bawah gaun pengantin perempuan dan terus beredar.