Proses pengambil alihan National Feedlot Corporation (NFC) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Proses perbincangan mengenai perkara itu sedang berjalan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata kajian juga sedang dijalankan dari segi undang-undang dan kesan kepada kementerian.

“Kita kaji dari segi perundangan, kesan kepada kementerian jika semuanya berjalan lancar.

“Saya sebut syarikat boleh pulang kembali hutang kepada MOA, itu semua dalam kajian itu jadi saya tak boleh sebut syarikat itu, tak boleh dedahkan,” kata Salahuddin.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran My Green Team di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Penggawa Barat di Pontian, Johor.

Minggu lalu, sebuah syarikat tempatan dilaporkan berminat untuk mengambil alih NFC yang pernah dilanda kontroversi bagi membangunkan semula projek ternakan lembu yang gagal dalam pentadbiran terdahulu.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin memaklumkan pihaknya akan bermesyuarat bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 3 Mei ini bagi membincangkan tentang soal tanah Felda yang akan diusahakan untuk tanaman durian Musang King.

Katanya, industri berasaskan durian sedang pesat dan kita akan kenal pasti tanah yang sesuai untuk penanamannya.