Seorang pengarah kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pecah amanah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek direman selepas mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, pengarah itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini.

Lelaki berkenaan yang berpakaian lokap jingga dibawa ke Mahkamah Putrajaya di sini kira-kira 9 pagi ini untuk permohonan reman SPRM itu.

Pengarah berumur 47 tahun itu ditahan kerana dipercayai terbabit pecah amanah melibatkan wang sejumlah RM223,000.

Dia disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

-- BERNAMA