Menteri Pendidikan baharu yang dilantik kelak perlu memahami aspirasi rakyat di Sabah dan Sarawak dalam memastikan martabat pendidikan di kedua-dua negeri itu diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, adalah penting untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan calon yang tepat bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Katanya, lebih 500 sekolah di Sabah adalah sekolah daif dan ia perlu dibaik pulih demi menyediakan infrastruktur yang baik kepada para pelajar.

"Ya, kita berharap sebegitu.

"Tentu sekali Dr Mahathir mempunyai kebijaksanaan dan melihat calon yang akan memegang jawatan Menteri Pendidikan ini adalah orang yang mempunyai pengalaman, dan faham, khususnya aspirasi rakyat Sabah dan juga Sarawak, yang jauh ketinggalan dari segi akademik dan infrastruktur," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Makan Malam Media, di sini, malam tadi.



BACA: Ya Tuhan, berikan aku kekuatan harungi fitnah ini - Maszlee

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir untuk memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum ia diisi oleh pengganti baharu.

"Jadi, bagi pihak Sabah, memang kita mengalu-alukan beliau memegang jawatan ini buat sementara.

"Saya berharap, sementara beliau memegang jawatan ini, beliau boleh memahami aspirasi rakyat Sabah bahawa keperluan pendidikan di Sabah itu amat mendesak sekarang dari segi infrastruktur, iaitu kemudahan sekolah," katanya.

BACA: Bukan Maszlee, 'sedozen' menteri lain lebih layak letak jawatan - Khairy

BACA: Sering bercanggah dengan Kabinet didakwa punca Maszlee diminta letak jawatan

Pada Khamis lalu, Dr Maszlee Malik mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas mendapat nasihat Perdana Menteri.