Keputusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggantung tugas Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusinya adalah berhubung siasatan isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior.

Pengerusi sementara Mara Datuk Dr Yusof Yacob berkata, keputusan itu tiada kaitannya dengan sokongan Annuar terhadap isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah Cina bebas.

"Penglibatan atau sokongan Tan Sri Annuar terhadap UEC tidak ada kena mengena dengan keputusan Majlis Mara untuk menggantung beliau sebagai Pengerusi Mara.

"Asas bagi keputusan Mara adalah berdasarkan penajaan The Red Warriors," kata Yusof dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Annuar juga telah dimaklumkan sebelum ini untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga siasatan oleh jawatankuasa audit dalaman Mara selesai.

"Saya berharap semua pihak termasuk Tan Sri Annuar memahami perkara ini dan tidak lagi akan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu," kata Yusof.

Annuar Musa telah digantung tugas sebagai Pengerusi Mara berkuatkuasa serta merta pada 31 Januari lalu.

Turut digantung, jawatan Annuar sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).

Keputusan itu dibuat 20 hari selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik statusnya berhubung penajaan pelaburan Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang 'dipaksa' untuk menaja skuad Liga Super Kelantan.

Namun tuduhan berkenaan dinafikan Annuar Musa.

Baru-baru ini beliau dilaporkan telah mendakwa dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily bahawa beliau adalah sasaran pesaing pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan pandangan beliau menyokong UEC, namun beliau tidak menamakan mereka.